I made this widget at MyFlashFetish.com.

Rabu, 1 Disember 2010

Jika ucapan orang-orang kafir adalah mengatakan sesuatu yang tak masuk akal, maka dalam Al Quran menunjukkan sifat-sifat kata Nabi adalah sesuatu yang masuk akal.

Cuba periksa ayat-ayat Al Quran yang Nabi diwahyukan untuk menyebut “katakanlah”. Apa yang dikatakan oleh Nabi itu semuanya masuk akal.

Tentang Pemilik langit dan bumi

6:12. Katakanlah, “Kepunyaan siapakah segala yang ada di langit dan bumi?” Katakanlah, “Kepunyaan Allah. Dia telah menuliskan (menetapkan) ke atas diri-Nya pengasihan. Dia mengumpulkan kamu pada Hari Kiamat yang tidak ada keraguan terhadapnya. Orang-orang yang merugikan jiwa-jiwa mereka, mereka tidak mempercayai.”

Tentang mengambil sekutu selain Allah

6:14. Katakanlah, “Adakah aku akan mengambil untukku sebagai wali (pelindung), selain daripada Allah, Pemula langit dan bumi, dan Dia yang memberi makan, dan tidak diberi makan?” Katakanlah, “Aku diperintah supaya menjadi yang pertama, orang yang tunduk patuh: ‘Janganlah kamu menjadi daripada orang-orang yang menyekutukan.’”

Tentang saat belakunya Kiamat

7:187. Mereka menanyai kamu mengenai Saat, bilakah ia melabuhkan. Katakanlah, “Pengetahuannya adalah hanya di sisi Pemeliharaku. Tiada yang akan mendedahkannya pada waktunya yang benar, melainkan Dia. Amatlah berat ia di langit dan di bumi; ia tidak akan datang kepada kamu melainkan dengan tiba-tiba.” Mereka menanyai kamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah, “Pengetahuannya adalah hanya di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Tentang siapa yang memberi rezeki

34:24. Katakanlah, “Siapakah yang memberi rezeki untuk kamu dari langit dan bumi?” Katakanlah, “Allah. Sesungguhnya, sama ada kami atau kamu adalah di atas petunjuk yang benar, atau dalam kesesatan yang nyata.”

Tentang penciptaan makhluk

10:34. Katakanlah, “Adakah daripada sekutu-sekutu kamu yang memulakan ciptaan, kemudian mengembalikannya?” Katakanlah, “Allah, Dia yang memulakan ciptaan, kemudian mengembalikannya semula. Bagaimanakah kamu dipalingkan?”

Tentang pemberi petunjuk yang benar

10:35. Katakanlah, “Adakah daripada sekutu-sekutu kamu orang yang memberi petunjuk pada yang benar?” Katakanlah, “Allah, Dia memberi petunjuk pada yang benar; dan yang manakah lebih wajar untuk diikuti - orang yang memberi petunjuk pada yang benar, atau orang yang tidak memberi petunjuk kecuali dia mendapat petunjuk? Mengapakah kamu, bagaimanakah kamu menghakimkan?”

Tentang perbendaharaan Allah dan perkara ghaib

6:50. Katakanlah, “Aku tidak mengatakan kepada kamu, ‘Aku mempunyai perbendaharaan Allah’. Aku tidak mengetahui yang ghaib, dan aku tidak mengatakan kepada kamu, ‘Aku seorang malaikat’; aku hanya mengikuti apa yang diwahyukan kepadaku.” Katakanlah, “Adakah orang yang buta dengan orang yang melihat sama? Tidakkah kamu memikirkan?”

Daripada ayat-ayat Al Quran yang disertakan, ia menunjukkan sifat-sifat ucapan seorang Nabi iaitu sesuatu yang masuk akal.

Apabila kita faham perkara asas ini, maka bila datang orang yang mempergunakan nama-nama si polan bin si polan terdahulu untuk mendakwa Nabi berkata itu dan ini, periksalah sama ada kata-kata yang didakwa atas nama Nabi itu masuk akal atau tidak.

Jika Allah tidak mengajar Nabi berkata-kata tak masuk akal, tak logik seorang yang ada kenabian akan berkata tak masuk akal seperti orang-orang Yahudi dan Nasrani terdahulu. Seolah-olah mereka nak samakan Nabi dengan orang-orang Yahudi dan Nasrani yang suka pada kepercayaan tak masuk akal itu.

Itulah kunci untuk kita bezakan sifat-sifat kata seseorang Nabi agar kita tidak ditipu lagi.

Selasa, 17 Ogos 2010

MURID DAN ALAM BELAJAR:

Pengajaran dan pembelajaran sebenarnya adalah merupakan satu proses yang boleh memberikan suatu pengetahuan baharu kepada murid dengan menggunakan cara pengajaran atau penyampaian yang menarik dan berkesan. Dengan menggunakan alat bantu mengajar yang menarik dan kreatif, murid sudah semestinya akan memberikan perhatian yang mendalam ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung.

Menurut Mok Soon Sang (2008), pengajaran boleh ditakrifkan sebagai suatu tugasan dan aktiviti yang diusahakan bersama oleh pelajar dan guru. Pengajaran dirancang oleh guru secara sistematik dan teliti untuk melaksanakannya dengan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai, membimbing, menggalak dan memotivasikan pelajar supaya mengambil inasiatif untuk belajar demi memperoleh ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran. Pembelajaran pula adalah proses memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui tindak balas yang menyebabkan perubahan tingkah laku manusia yang kekal. Tingkah laku ini berubah hasil daripada pengalaman atau latihan.

Mengikut Thomas F. Green (1971), tujuan mengajar adalah untuk mengubah tingkah laku melalui perolehan ilmu pengetahuan dan kepercayaan baru. Beliau berpendapat, dalam proses pengajaran dan pembelajaran, aktiviti latihan atau pelaziman merupakan usaha yang boleh mengubah tingkah laku pelajar.

Berdasarkan keterangan tokoh-tokoh di atas, jelaslah bahawa pengajaran dan pembelajaran merupakan sesuatu yang proses penyampaian ilmu dan idea yang melibatkan guru, murid dan persekitaran yang akan menghasilkan perubahan tingkah laku pelajar secara kekal dan stabil berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang diterima.

Situasi Dalam Kelas :

Soalan 1 :

Secara amnya, tugas seorang guru sebenarnya hanya menyampaikan ilmu pengetahuan berdasarkan sukatan pelajaran yang diberi. Namun, pada hari ini tugas guru menjadi semakin mencabar dan menjadi semakin sukar berikutan perubahan zaman yang mempengaruhi pemikiran setiap golongan. Pemikiran dan ideologi yang pelbagai semakin tersebar luas dan ini menyebabkan setiap orang perlukan pembimbing agar mereka dapat membezakan antara yang hak dan yang batil. Justeru, pembimbing yang paling berkesan adalah seorang guru.

Dalam melaksanakan hasrat kerajaan sepertimana yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, tanggungjawab guru juga telah menjadi semakin banyak. Namun begitu, peranan guru yang lebih utama adalah peranan yang dimainkan di dalam kelas. Kelas adalah merupakan tempat yang sudah sebati dalam menyampai dan menerima pendidikan bagi setiap insan. Peranan yang dimainkan guru di dalam kelas pula bukan sahaja sebagai penyampai ilmu dan pendidik, malah guru juga terpaksa mengawal dan menjaga tingkahlaku murid-muridnya.

Sikap dan karenah murid pula berbeza-beza. Ada yang mudah dikawal dan ada juga yang sukar. Disebabkan ini, guru perlu mempelbagaikan cara dan teknik untuk menawan hati murid-muridnya. Sekiranya guru tidak dapat menawan hati murid-muridnya, ini sekaligus menyebabkan suasana pembelajaran menjadi sukar dikawal dan ini akan menyebabkan proses penyampaian ilmu akan terganggu. Suasana seperti murid bising, murid bergaduh, mengganggu rakan-rakan dan lain-lain adalah antara masalah normal yang terdapat dalam kelas. Oleh sebab itu, guru perlulah menarik perhatian murid-muridnya dengan cara yang unik. Pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas perlulah menyeronokkan murid agar mereka dapat memberikan fokus dengan baik. Antara salah satu kaedah yang biasanya berkesan untuk menarik perhatian murid dalam kelas ketika pengajaran dan pembelajaran berlangsung adalah menggunakan teknik main dalam pembelajaran.

Telah menjadi hak kanak-kanak untuk berehat, bermain, beriadah dan berseronok berdasarkan hak akta kanak-kanak Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (1989). Daripada kenyataan itu, jelas menunjukkan bahawa aktiviti bermain adalah merupakan satu medium umum yang dapat menarik perhatian kanak-kanak kerana bermain ini akan melibatkan diri pelajar secara langsung dengan penglibatan yang aktif dari segi kognitif dan fizikal. Menurut Fromberg (1987), main merupakan simbolik, bermakna, menyeronokkan, sukarela dan bermotivasi intrinsik, berperaturan dan berbentuk episodik.

Konklusinya, murid-murid sebenarnya adalah kanak-kanak dalam proses pembesaran yang akan dibentuk berdasarkan cara pendidikan yang diterima. Aktiviti main merupakan perkara yang paling asas dan sebati dalam diri kanak-kanak sejak azali lagi. Untuk menarik minat kanak-kanak, bermain adalah sesuatu yang patut diselitkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang mereka lalui.

Murid-murid yang agak lembap ataupun slow seringkali disisihkan kerana dianggap menyusahkan terutama pada pandangan rakan sebaya mereka. Perkara berkenaan adalah biasa dalam proses perkembangan kanak-kanak kerana setiap individu mengalami perubahan kognitif yang berbeza-beza. Menurut Jean Piaget (1952), perkembangan kanak-kanak adalah sebagai perkembangan kendiri di mana mereka meneroka, membina idea dan mengujinya secara individu. Oleh itu, ia bergantung sendiri kepada perkembangan kognitif kanak-kanak tersebut berdasarkan pengalaman mereka.

Perkembangan kognitif ini biasanya akan mempengaruhi emosi murid-murid dan ini akan mempengaruhi mereka dalam pengajaran dan pembelajaran. Penerimaan pengajaran akan menjadi sukar sekiranya murid mempunyai emosi yang kurang baik ataupun ‘morale down’. Emosi ini sebenarnya mempunyai kaitan dengan motivasi. Motivasi memainkan peranan penting dalam mengekalkan emosi yang baik agar penerimaan pelajaran murid sentiasa ditahap optimum. Menurut Noriati dan lain-lain (2009), motivasi ialah keadaan dalaman yang merangsang, mengarah dan mengekal tingkah laku. Justeru, motivasi adalah penting untuk menjadikan murid sentiasa dalam ‘mood’ yang baik.

Namun, pelajar akan menjadi lebih cekap dan cerdik dalam pengajaran dan pembelajaran sekiranya cara dan gaya pembelajaran yang digunakan guru sesuai dengan pelajar dan mereka juga boleh menerima gaya pembelajaran itu dengan baik. Mengikut Dunn dan Dunn (1981), gaya pembelajaran adalah cara setiap murid memberikan tumpuan, memproses dan menyimpan maklumat baharu dan maklumat yang sukar. Gaya pembelajaran adalah pendekatan tersendiri seseorang individu kepada pembelajaran dan biasanya melibatkan pemprosesan maklumat yang pemprosessan maklumat yang mendalam, Woolfolk (1998).

Menurut Dunn dan Dunn lagi, setiap orang mempunyai kekuatan akan tetapi, kekuatan itu berbeza-beza antara individu dengan individu yang lain. Sehubungan dengan itu, guru perlu memahami konsep gaya pembelajaran, jenis-jenis gaya pembelajaran murid-muridnya agar dapat memastikan guru mampu mengubahsuai keadaan persekitaran pembelajaran, sumber-sumber dan pendekatan-pendekatan bagi memastikan pengajarannya bermakna dan bererti.

Masalah murid yang tidak berdisiplin pula yang dihadapi oleh guru disekolah sebenarnya adalah perkara biasa kerana sikap dan pandangan idea setiap murid adalah berbeza-beza. Oleh kerana sikap dan idea yang berbeza-beza ini, setiap daripada mereka akan cuba mempertahankan sikap dan idea mereka masing-masing dengan cara yang adakalanya boleh dikatakan melampau.

Selain itu, masalah disiplin yang timbul di dalam kelas juga juga sebenarnya mempunyai banyak punca. Oleh itu, guru haruslah sentiasa peka dengan perubahan sikap murid sekiranya murid mula mengalami perubahan yang negatif. Pencegahan awal adalah penting agar masalah disiplin ini tidak terus menular kepada rakan-rakan mereka yang lain.

Disamping itu, disebabkan perubahan emosi yang tidak diawasi dengan baik oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak, ini sekaligus menyebabkan mereka akan meluahkan emosi mereka (kanak-kanak) kepada persekitaran ataupun kawan-kawan. Mengikut teori Erik Erikson (Perkembangan Kanak-Kanak 2008), setiap individu perlu berhadapan dengan krisis perkembangan di dalam setiap peringkat yang mana setiap peringkat mempunyai matlamat untuk dicapai.

Ini jelas menunjukkan bahawa murid sebenarnya sedang berada di dalam satu peringkat perkembangan dan mereka sebenarnya menghadapi krisis dalam setiap perkembangan.

Murid yang kerap mengganggu ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang berjalan sebenarnya disebabkan banyak faktor, antaranya kadang-kadang adalah disebabkan cara pengajaran dan pembelajaran guru yang membosankan dan faktor lain adalah disebabkan murid itu sebenarnya adalah hyper-active. Pengajaran yang menarik sudah tentu dapat menarik perhatian murid agar terus menumpukan sepenuh perhatian sehingga tamat kelas.

Murid akan lebih bosan sekiranya guru mengajar menggunakan cara pengajaran yang sama setiap kali masuk ke kelas. Oleh itu, guru haruslah kreatif dalam membuat dan menyediakan alat bantu mengajar agar proses pengajaran dan pembelajaran menarik.

Dalam mengelolakan aktiviti berkumpulan, sememangnya aktiviti yang dibuat dalam kumpulan adalah aktiviti yang menyeronokkan. Namun tidak semua pelajar sesuai dengan ahli kumpulan yang diberikan kepada mereka. Ahli kumpulan juga penting dalam menjadi faktor agar murid dapat belajar dengan baik. Sememangnya murid juga adalah manusia biasa yang hanya boleh bergaul dengan rakan mereka yang ‘sebulu’ dengan mereka. Sekiranya mereka bergaul atau berkumpulan dengan orang yang tidak sependapat dengan mereka, maka inilah yang menyebabkan proses pembelajaran di dalam kelas terganggu.

Soalan 2 :

Banyak perkara yang boleh dilakukan oleh guru untuk menarik perhatian murid-muridnya dalam kelas dengan cara yang berkesan. Peranan guru sebenarnya tidaklah terhad kepada mendidik muridnya sahaja bahkan banyak lagi yang boleh dilakukan guru sebagai insan pendidik.

Seperti yang kita sedia maklum, tugas utama guru ialah menyampaikan ilmu pengetahuan berdasarkan sukatan pelajaran serta mendidi murid menjadi insan yang berguna dan bermoral tinggi. Untuk mencapai objektif ini, guru sebagai pengajar hendaklah merancang aktiviti yang sesuai dengan menyediakan alat bantu mengajar untuk meningkatkan lagi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, melaksanakan rancangan mengajar yang telah disediakan dan membuat penilaian atas segala aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan, melalui maklum balas yang diterima daripada penilaian, guru dapat menambahbaikkan proses pengajaran dan pembelajaran.

Disebabkan itulah para guru disyorkan untuk menyelitkan unsur permainan dalam pengajaran dan pembelajaran. Telah menjadi hak kanak-kanak untuk berehat, bermain, beriadah dan berseronok berdasarkan hak akta kanak-kanak Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (1989). Berdasarkan kenyataan itu, jelaslah menunjukkan bahawa aktiviti bermain adalah merupakan satu medium umum yang dapat menarik perhatian kanak-kanak kerana bermain ini akan melibatkan diri pelajar secara langsung dengan penglibatan yang aktif dari segi kognitif dan fizikal. Menurut Fromberg (1987), main merupakan simbolik, bermakna, menyeronokkan, sukarela dan bermotivasi intrinsik, berperaturan dan berbentuk episodik.

Secara ringkasnya, sebagai seorang pengajar di dalam bilik darjah, guru haruslah menjalankan tugas seperti merancang pelajaran, melaksanakan pengajarannya serta menilai aktiviti pelajaran dan pembelajaran. Segala aktiviti ini bertujuan untuk mendidik murid-murid supaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia.

Dalam mengawal sikap murid yang kurang berdisiplin pula, sebagai seorang guru, ini adalah masalah yang biasa yang timbul di sekolah. Masalah disiplin ini sebenarnya mempunyai banyak punca yang harus diambil tahu oleh guru-guru.

Mengikut Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), disiplin boleh didefinisikan dalam beberapa maksud, antaranya :

1. Kesanggupan seorang individu mematuhi dan menghormati undang-undang, sama ada disiplin itu dikenakan dari luar atau dengan kerelaan sendiri.

2. Kesanggupan bekerja dengan mengikut tertib.

3. Kesanggupan seseorang menghormati hak orang lain.

4. Kesanggupan seseorang mengamalkan tingkahlaku yang baik dengan tidak mengganggu kepentingan orang lain.

Disekolah, disiplin merupakan sejenis garis panduan kepada murid agar tiada masalah berkenaan murid timbul dan disiplin ini pula merupakan hukuman bagi murid yang melakukan kesalahan.

Menurut Syarifah Alwiah Alsagoff (1984), disiplin di sekolah adalah keadaan yang membuatkan pelajar-pelajar mematuhi peraturan-peraturan yang sudah ditetapkan tanpa dikenakan denda atau diberi ganjaran. Berdasarkan definisi-definisi ini, jelas menunjukkan bahawa masalah disiplin yang dilakukan pelajar sebenarnya adalah mempunyai banyak punca-punca yang sudah dikenalpasti.

Menurut Mook Soon Sang (Pedagogi untuk Pengajaran dan Pembelajaran, 2008), punca masalah disiplin yang berlaku disekolah sebenarnya dipengaruhi oleh banyak faktor, antaranya ialah penggunaan pendekatan dan strategi mengajar yang kurang sesuai. Sekiranya cara pengajaran yang digunakan oleh guru untuk mengajar adalah dengan menggunakan cara yang tidak sesuai dengan citarasa murid, ini akan menyebabkan murid akan berasa cepat bosan. Sekiranya mereka berasa bosan, mereka akan cuba melakukan perkara lain yang adakalanya sehingga boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. mereka akan memberontak agar mereka dapat melakukan perkara yang menyeronokkan diri mereka sendiri.

Selain itu, keadaan fizikal dan suasana bilik darjah juga sebenarnya boleh mempengaruhi keadaan pelajar. Misalnya, keadaan yang kurang menyelesakan pelajar seperti susunan kerusi dan meja yang terlalu sesak, tidak teratur, kelas kurang bersih dan lain-lain lagi juga boleh mempengaruhi emosi para pelajar. Keadaan-keadaan seperti ini akan menjadikan mereka gelisah dan kurang selesa lalu mereka akan membuat perkara yang akhirnya menghasilkan keselesaan kepada mereka walaupun mereka sebenarnya telah melakukan sesuatu kesalahan disiplin.

Selain daripada keadaan fizikal yang kurang menyelesakan dan penggunaan pendekatan dan strategi pengajaran yang kurang sesuai, hubungan guru dengan pelajar juga sangat penting dalam mengurangkan masalah disiplin murid. Sekiranya guru mengamalkan kepimpinan secara autokratik dan mengawal disiplin pelajar dengan kuku besi, ini sekaligus menyebabkan interaksi 2 hala iaitu antara guru dengan murid tidak dapat diwujudkan. Sebaliknya perasaan bimbang, takut dan gelisah wujud dan ini akan menyebabkan suasana yang tidak sihat timbul.

Murid tidak dapat meluahkan idea atau pandangan mereka dengan guru kerana guru seharusnya mendengar masalah murid. Oleh itu, disebabkan perkara sebeginilah yang menyebabkan murid akan melakukan masalah disiplin kerana kurang nasihat dan peringatan daripada guru mereka.

Menurut Mook Soon Sang lagi, sikap guru juga merupakan faktor yang penting dalam mengawal sahsiah dan disiplin murid. Personaliti guru perlulah dapat meyakini murid agar murid timbul rasa hormat kepada guru mereka. Ciri-ciri guru yang kurang berpengalaman dan kurang tegas di dalam bilik darjah akan menyebabkan murid-murid khasnya bagi murid-murid yang nakal mudah untuk ‘mengenakan’ guru tersebut dengan bertujuan membuli guru.

Kemudian, menurutnya lagi, keluarga dan persekitaran seperti rakan sebaya juga mempengaruhi sikap pelajar di dalam bilik darjah. Sekiranya murid itu sering terdedahkan dengan suasana negatif seperti bercakap besar, suka bergaduh, berjudi, membaca buku berunsur lucah dan banyak lagi perkara negatif lain, maka murid akan lebih mudah melakukan kesalahan disiplin disebabkan sering terdedah dengan perkara negatif itu.

Dalam keadaan lain pula, seorang guru yang ingin menarik perhatian muridnya di dalam kelas juga perlu melakukan perubahan dengan perlahan-lahan seperti guru di dalam kelas mejadi inventor (pembaharuan). Guru harus banyak idea, strategi, pendekatan, kaedah dan teknik agar dapat memperkenalkannya kepada pelajar di dalam bilik darjah dengan cara yang kreatif. Inilah yang dikatakan inventor atau pembaharuan. Ini penting bagi guru mempertingkatkan keberkesanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, guru haruslah sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan khasnya dalam bidang pendidikan dari semasa ke semasa.

Selain itu, B.F Skinner (1959) menyatakan pengajaran yang berkesan sebagai pengajaran yang mempunyai aktiviti peneguhan yang cukup yang membolehkan murid memperkukuhkan apa yang dipelajari dalam ingatan. Berdasarkan kenyataan Skinner ini, jelas menunjukkan pengajaran dan pembelajaran guru itu haruslah efektif kerana bagi memperkuatkan ingatan dan fahaman murid sama ada murid yang cekap ataupun tidak tentang sesuatu subjek, pengajaran yang efektif adalah penting sekali. Pengajaran efektif ini bukan sahaja diutamakan pada bahan bantu mengajar yang menarik, bahkan peranan guru juga sama pentingnya. David G.Ryan (1959) menyatakan pengajaran efektif adalah dengan guru yang berkesan. Guru yang berkesan ialah guru yang dapat melaksanakan tugas dan aktiviti pengajarannya di dalam bilik darjah secara adil, demokratik, responsif, bertimbang rasa, baik hati, jujur, cergas, menarik, bertanggungjawab, stabil, tenang dan berkeyakinan.

Kemudian, guru yang mengajar juga perlulah berorientasikan maklumat. Perkara ini penting agar ajaran guru selari dengan objektif pengajaran dan pembelajaran dan guru dapat meningkatkan serta memperoleh perkara baharu daripada pelbagai sumber. Berorientasikan maklumat bermakna bersungguh-sungguh mengejar maklumat-maklumat baharu yang berkaitan dengan pendidikan melalui sebarang media, khasnya media ICT.

Bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran guru lebih berkesan, gaya pembelajaran murid dan gaya pengajaran guru perlulah sesuai agar murid dapat menerima dengan baik. Gaya pembelajaran adalah tingkah laku yang konsisten setiap murid dalam cara ia belajar.

Ini bermakna, guru haruslah menggunakan atau mengaplikasikan serta mengamalkan pelbagai jenis gaya pembelajaran. Terdapat pelbagai jenis gaya pembelajaran yang sering digunakan dalam mengajar murid-murid dan juga sering digunakan oleh murid itu sendiri. Gaya pembelajaran sebenarnya bergantung sendiri terhadap diri setiap murid itu masing-masing. Namun, guru perlu memastikan dan cuba mengubahsuai suasana pembelajaran agar sesuai dengan penerimaan murid. Menurut Dunn dan Dunn(1981), setiap orang mempunyai kekuatan akan tetapi, kekuatan itu berbeza-beza antara individu dengan individu yang lain. Sehubungan dengan itu, guru perlu memahami konsep gaya pembelajaran, jenis-jenis gaya pembelajaran murid-muridnya agar dapat memastikan guru mampu mengubahsuai keadaan persekitaran pembelajaran, sumber-sumber dan pendekatan-pendekatan bagi memastikan pengajarannya bermakna dan bererti.

Sabtu, 17 April 2010

taubat selalu diterima Allah S.W.T.....

Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran 135-136:

(maksudnya) Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang- orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

Islam bukan seperti sesetengah ajaran yang menyuruh seseorang yang berdosa membuat pengakuan di hadapan orang agama, atau melakukan upacara yang menyeksa diri demi penghapusan dosa seperti melukakan diri atau berjalan atas bara api atau membuat bayaran penebusan.

Demikian perbuatan sesetengah pihak mencari rezeki dengan mengambil upah untuk pelupusan dosa solat atau puasa atau ibadah yang lain, bukan dari ajaran Islam. Islam tidak pernah mengenal itu semua. Seperti Islam tidak pernah menerima sama sekalipun perbuatan sesetengah agama lain yang mengeluarkan surat berbayar untuk penghapusan dosa, demikian Islam tidak dapat menerima perbuatan penganutnya jika melakukan hal yang sama dengan mengeluarkan borang pahala yang dijual sempena Ramadan atau selainnya.

Keampunan dan rahmat Allah bukan dijual di jalanan. Ia sangat berkaitan dengan keluhuran jiwa yang ikhlas ingin kembali kepada Allah Yang Maha Pengampun. Jika keampunan hanyalah bayaran yang dibayar kepada pihak tertentu, tentulah semua orang kaya tempatnya di syurga.

Sementara si miskin yang tidak mampu membayar kepada golongan agama tiadalah habuan keampunan untuknya. Maka tidaklah perlu lagi seseorang berpegang dengan agama, cukuplah dengan membanyakkan ongkos, maka selamatlah dia di sisi Tuhan. Aduhai, tentu tidak demikian.

Firman Allah (maksudnya) Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan manfaat sesuatu apapun. Kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera. Dan (pada hari itu) didekatkan syurga bagi orang- orang yang bertakwa. Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat. (surah al-Syu’ara 88-91).

Seseorang yang berdosa pula, tidak disuruh mendedahkan dosanya kepada orang lain sekalipun di hadapan ulama atau siapapun di kalangan manusia. Bahkan dia disuruh bertaubat antara dia dengan Allah dan menutup keburukan dirinya daripada orang lain.

Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang Muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat. (Riwayat Muslim).

Termasuk dalam perkataan Muslim itu diri insan yang berdosa itu sendiri, dia juga tentu seorang Muslim. Maka dia wajib menutup keaiban dirinya. Maka dalam Islam tidak ada ‘pengakuan dosa di hadapan paderi’. Sesiapa sahaja yang berasa berdosa dan ingin kembali kepada Allah, maka dia bertaubat di mana sahaja dia berada.

Sabda Nabi: Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya. (Riwayat al- Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Aduhai luasnya rahmat Allah dalam agama ini. Bahkan dalam sebuah hadis kudsi,

Allah berfirman: Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Bahkan kita dilarang kecewa dengan hidup disebabkan dosa yang lalu. Sebaliknya, disuruh agar sentiasa memohon keampunan daripada Allah dan jangan kecewa dari rahmat-Nya.

Firman Allah dengan penuh syahdu dalam surah al-Zumar ayat 53: (maksudnya), Katakanlah: Wahai hamba- hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika mentafsirkan ayat ini menyebut: “Ayat yang mulia ini adalah panggilan untuk semua pembuat dosa dari kalangan yang kufur dan selain mereka agar bertaubat dan kembali kepada Allah. Ayat ini juga adalah pemberitahuan Allah Yang Maha Berkat Lagi Maha Tinggi bahawa Dia mengampunkan segala dosa untuk sesiapa yang bertaubat dan meninggalkannya, walau bagaimana besar dan banyak sekalipun dosa tersebut. Sekalipun bagaikan buih di lautan”. (Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/74, Beirut: Mussasah al-Rayyan).

Maka tidak ada kecewa bagi insan yang berdosa. Sekalipun kadangkala ada dosa yang tidak dapat dimaafkan oleh perasaan insan lain, namun Allah tidak pernah menutup pintunya selagi insan yang berdosa itu insaf, benar-benar kembali kepada-Nya.

Saya bicarakan tajuk ini, sesuai dengan suasana puasa. Juga agar perbincangan agama, janganlah menyebabkan manusia ini kecewa dengan diri mereka dalam mencari jalan pulang ke pangkuan Tuhan.

Agama ini begitu lunak. Pintu untuk mendekati Tuhan tidak pernah hanya dikhususkan untuk orang tertentu semata. Bahkan sesiapa sahaja yang menerima Islam ini dan berusaha mendekatkan diri dengan jalan Rasulullah maka dia akan sampai ke dalam rahmat Allah.

Tiada perbezaan antara mufti, ustaz, imam dan orang biasa. Tuhan tidak pernah menilai insan dengan gelaran-gelaran yang diberikan oleh sesama manusia. Dia melihat keluhuran jiwa dan kesahihan amalan. Entah berapa ramai orang biasa lebih mulia di sisi Tuhan dibandingkan mereka yang bersandar dengan berbagai-bagai gelaran dan pangkat. Jalan pulang ke pangkuan Tuhan tidak pernah mendiskriminasikan manusia.

Kadangkala amat menakutkan kita mendengar ucapan sesetengah orang. Saya pernah mendengar seseorang menyebut “dosa- dosa si polan tidak akan diampunkan Allah.” Ringan perkataan itu di lidah kita, amat berat kesalahannya di sisi Allah.

Sejak bilakah pula kita menjadikan wakil Tuhan dalam memutuskan rahmat atau kelaknatan di kalangan hamba-hamba-Nya. Kita menolak manusia ingin kembali dataran keampunan Allah hanya kerana emosi kita, sedangkan Allah sendiri mengisytiharkan keluasan rahmat-Nya untuk semua.

Marilah kita berkempen untuk manusia mendapatkan rahmat keampunan Allah ini. Bukan untuk orang masjid dan surau sahaja, tetapi juga semua muda-mudi di jalanan, artis di pentas, pemimpin di gelanggang politik dan seterusnya. Jangan menghukum seseorang itu sebagai tidak berpeluang menerima rahmat Allah sedangkan roh masih di jasadnya dan hukuman Allah belum pun kita tahu.

Nabi bersabda: Jika seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah yang paling binasa. (Riwayat Muslim).

Hadis ini bermaksud apabila seseorang berkata dengan tujuan merendahkan orang lain dan membanggakan dirinya seakan orang lain tidak mendapat kerahmatan, maka dialah akan dibinasakan Allah. Dakwah agama hendaklah merentasi sempadan-sempadan yang dibikin oleh kita. Rahmat Allah mestilah disebarkan ke semua daerah hidup yang pelbagai. Sama ada yang berada di gelanggang sukan, di pentas filem, di medan politik atau apa sahaja.

Janganlah perbincangan agama hanya menggambarkan seakan semua manusia akan memasuki neraka semata, lalu kita lupa Allah ialah Tuhan Yang Maha Rahmat. Ungkapan-ungkapan agama ini adalah ungkapan memberikan harapan, bukan menimbulkan kekecewaan.